Monday, January 23, 2012

KRONOLOGI: Anggaran rentetan tahun sejarah Kesultanan Melaka

1400 Parameswara, putera raja dari Palembang melarikan diri ke Temasik selepas Palembang ditumpaskan Majapahit dan akhirnya membuka Melaka.
1403 Laksamana Yin Ching dalam misi perdagangannya singgah di Melaka dan menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan China-Melaka.
1409 Parameswara membayar ufti kepada China untuk mendapat perlindungan serangan Siam.

1409 Laksamana Cheng Ho, Ketua Armada perdagangan China dan pembesar tiba di Melaka bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

1411 Parameswara diiringi pembesar Melaka dengan rombongan pengiring seramai 540 orang serta ditemani Laksamana Cheng Ho belayar ke China untuk mengadap Maharaja Yung Lo.
1414 Parameswara berkahwin dengan Puteri Pasai. Baginda memeluk agama Islam dan menggunakan gelaran Sultan Iskandar Shah.
1424 Parameswara mangkat dan anakandanya, Sri Maharaja menaiki takhta dan menukar namanya menjadi Sultan Muhammad Shah.
1444 Sultan Muhammad Shah diganti putera bongsunya, Raja Ibrahim.
1445 Raja Ibrahim dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran Sultan Abu Syahid.
1446 Raja Kassim menaiki takhta dan menggunakan gelaran Sultan Muzaffar Shah serta mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi Melaka.
1447 Serangan pertama Siam ke atas Melaka. Pihak Siam ditewaskan tidak jauh dari Muar.
1456 Tun Perak menjadi Bendahara dengan gelaran Bendahara Paduka Raja. Beliau berkhidmat di bawah empat sultan dan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.
1458 Sultan Mansur Shah menaiki takhta. Maharaja China menghantar Laksamana Cheng Ho yang membawa Puteri Hang Li Po dan dikahwinkan dengan baginda. Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpateh Puteh dengan segolongan pengiring ke negeri Cina untuk mengiring Hang Li Po.
1477 Sultan Mansur Shah mangkat dan Sultan Alauddin Riayat Shah menaiki takhta pada usia 15 tahun. Baginda adalah seorang yang tegas dalam melaksanakan tugasnya.
1488 Sultan Alauddin diracun mati di Pagoh dan diganti oleh Sultan Mahmud Shah
1498 Tun Perak meninggal dunia.
1500 Tun Mutahir, sepupu Tun Perak, menggantikannya sebagai Bendahara bergelar Bendahara Seri Maharaja dan menjadi bendahara yang paling berkuasa di kalangan bendahara.
1509 Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal daripada Angkatan Diraja Portugal tiba di Melaka. Mereka adalah orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar ‘Benggali Putih’ oleh orang tempatan. Disebabkan perselisihan faham, angkatannya diserang Melaka dan 20 anak kapalnya ditahan.
1510 Bendahara Tun Mutahir dan keluarganya mati dibunuh Sultan Mahmud Shah kerana beliau enggan menyerahkan anaknya Tun Fatimah kepada baginda. Sultan Mahmud Shah memilih anaknya, Sultan Ahmad Shah menggantikan baginda sebagai sultan sementara.
1511 Alfonso d’Albuquerque tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan membina sebuah markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak sultan. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos dan membina A Famosa dalam tempoh enam bulan. Dengan tewasnya Sultan Mahmud Shah, Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.

No comments: